Jemaah Menteri bergambar beramai-ramai, Fahmi nafi parlimen nak dibubarkan

Tular di media sosial pada Jumaat gambar rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan Jemaah Menteri sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi politik.

Ada yang mendakwa sesi bergambar tersebut menjadi petanda bahawa Parlimen bakal dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal.

Namun, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil tampil menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar dan tidak berasas.

Menurut beliau, sesi fotografi itu sebenarnya diadakan bagi melengkapkan gambar rasmi Kabinet selepas beberapa anggota baharu dilantik menerusi rombakan Kabinet pada Disember tahun lalu.

Fahmi berkata sebelum ini belum ada peluang yang sesuai untuk menghimpunkan semua anggota Kabinet bagi mengambil gambar rasmi bersama.

Beliau menjelaskan bahawa pengambilan gambar rasmi seperti itu adalah amalan biasa dalam pentadbiran kerajaan dan pernah dilakukan sebelum ini dengan barisan Kabinet terdahulu.

Kebetulan pula semua menteri berada di Putrajaya pada hari berkenaan sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Disebabkan semua anggota Jemaah Menteri hadir dengan pakaian istiadat rasmi, Jabatan Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk mengadakan sesi fotografi tersebut.

Fahmi menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu membuat andaian atau mengaitkan sesi bergambar itu dengan pembubaran Parlimen kerana ia hanyalah urusan rasmi kerajaan yang biasa dilakukan.

Setakat ini, kerajaan masih memberi tumpuan kepada agenda pentadbiran dan isu rakyat, manakala sebarang spekulasi mengenai pembubaran Parlimen atau PRU16 masih belum mempunyai asas rasmi daripada pihak kerajaan.